Post by opieh_294 on Oct 27, 2008 5:54:09 GMT 7
PENDIDIKAN adalah proses dan aktiviti untuk menghasilkan perubahan d**ehendaki dalam diri seseorang. Pendapat Atan Along, seorang tokoh pendidik, bahawa pendidikan menitikberatkan kandungan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmoni daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha itu bagi melahirkan rakyat Malaysia berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Selain daripada asas dan pendapat di atas, terdapat banyak dalil al-Quran dan hadis menunjukkan Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu dan mementingkan pendidikan.
“Allah akan meninggikan martabat orang yang beriman dan berilmu beberapa darjat.” (Al-Mujadalah: 11)
Dalam Islam, keperibadian orang Islam adalah sesuatu yang ditanam ke dalam dirinya. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Anak-anak itu dilahirkan seumpama sehelai kain putih. Ibu bapa yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Ini bermaksud, pembentukan keperibadian serta pendidikan seseorang Muslim itu penting dan terletak kepada tanggungjawab kedua ibu bapanya.
Ibu bapa yang sedar tanggungjawab itu akan berusaha mendidik sedaya upaya untuk menanam keperibadian Islam di jiwa anak mereka.
Al-Ghazali adalah tokoh terkemuka pada zaman kegemilangan Islam. Beliau juga seorang ahli falsafah mahir dalam bidang teologi, logik, undang-undang, sains dan ilmu tasawuf berpendapat pendidikan adalah cara dan proses mendapatkan ilmu pengetahuan dan tingkah laku juga dipelajari melalui proses pembelajaran.
Menurutnya, matlamat pendidikan yang unggul adalah keselarasannya dengan objektif kejadian manusia atau penguasaan ilmu mengenai Allah.
Ilmu sedemikian meliputi ilmu mengenai Pencipta dan ciptaan-Nya, termasuk alam semesta, ruh, keadaan selepas mati dan sebagainya.
Dengan itu, pendidikan yang disifatkan sebagai proses untuk mendapat ilmu lebih terarah kepada perkembangan pembawaan dan personaliti murid.
Pendidikan juga dapat menyemai akhlak mulia kepada kanak-kanak supaya dapat menilai perkara yang benar dan salah, yang baik dan buruk dan membezakan perilaku baik dan jahat.
Dalam satu tulisan, Al-Ghazali menganggap tujuan mencari ilmu adalah pengembaraan untuk melengkapkan diri bagi kehidupan akan datang dan bukan untuk mendapatkan kuasa, pengaruh dan kemewahan.
Ini tidak bererti kita mesti mengetepikan urusan keduniaan selepas mendekatkan diri kepada Allah atau memperoleh kemuliaan, pengaruh dan penghormatan di dunia.
Demikianlah matlamat pendidikan menurut Al- Ghazali yang memperoleh bukti daripada al-Quran dan hadis.
Kesimpulan pendapat Al-Ghazali, proses pendidikan bermula sejak lahir lagi.
Selain aspek intelek, pendidikan hendaklah merangkumi latihan jasmani dan sukan supaya dapat menguatkan tubuh badan serta menambahkan kecergasan.
Pendidikan juga merangkumi pemupukan budi pekerti yang mulia, sifat berani, patriotik, sabar serta menghormati orang lain.
Beberapa tokoh Islam memberikan pengertian mereka mengenai pendidikan yang d**ehendaki bagi masyarakat Islam keseluruhan.
Muhammad Qutb berpendapat, pendidikan adalah proses untuk membina manusia yang menyeluruh, termasuk bahagian seperti jasad, intelek, kehidupan kebendaan dan rohaninya serta setiap aktiviti hidupnya.
Ia mempertimbangkan keseluruhan diri manusia itu sendiri sebagai manusia, dengan keadaan semula jadi (fitrah) yang Allah jadikan baginya, tanpa meletakkan sesuatu melebihi kemampuan fitrahnya.
Bagi Dr Mohd Athiyah al-Abrasyi, pendidikan adalah proses pembentukan akhlak dan budi pekerti yang menghasilkan individu bermoral, mempunyai jiwa bersih, niat kuat, cita-cita dan akhlak tinggi, tahu erti kewajipan dan menghormati hak manusia.
Ini boleh membentuk individu yang sopan dalam percakapan dan perbuatan, mulia dalam tingkah laku dan perangai, bersifat bijaksana, sempurna, beradab, ikhlas, jujur dan suci.
Amar al-Shaibani berpendapat, pendidikan adalah persiapan untuk kehidupan dunia dan akhirat.
Bagi Islam, katanya, pendidikan menggabungkan akidah dan syariah, jasmani dan rohani, dunia dan akhirat.
Pendidikan tidak menggalakkan seseorang itu memencilkan diri daripada masyarakat. Ia mengajak manusia bekerja serta menganggap manusia mulia dengan kerjanya.
Hassan Langgulung pula memberikan beberapa tujuan pendidikan. Antaranya, menimbulkan keinsafan kepada pelajar berkenaan agama dan segala yang terkandung dalam prinsip akhlak yang mulia.
Pendidikan juga menanamkan rasa rela, optimisme, kepercayaan diri, memikul tanggungjawab, menghormati tugas, kerjasama atau kebaikan dan takwa, kasih sayang, menginginkan kebaikan bagi orang lain, kesabaran, berjuang untuk kebaikan, berpegang teguh pada prinsip, suka berkorban, membela agama dan tanah air.
Ini jelas dapat memupuk naluri, penggerak dan keinginan pelajar serta mengukuhkannya dengan akidah dan nilai-nilai yang diingini. Membersihkan hati daripada hasad dengki, penyelewengan, kebencian, kekasaran, aniaya, egoisme, keraguan, pengkhianatan, penipuan dan perpecahan.
Menanam rasa cinta terhadap al-Quran dengan menghormati, membaca dengan baik, memahami dan mengamalkan ajarannya.
Begitu juga pendapat Hamka, tokoh Islam Indonesia, bahawa pendidikan mampu memupuk budi pekerti mulia, tabiat baik serta sikap berani, merendah diri, sabar serta menghormati orang lebih tua.
Pendidikan, menurut perspektif Islam jelas menekankan kepada tindak balas sesuai terhadap pelbagai situasi kehidupan.
Ciri-ciri seperti itu membenarkan penggunaan perintah Islam untuk meneruskan usaha ke arah pembangunan negara.
Ia juga menekankan idealisme yang realistik iaitu mengambil kira kelemahan manusia dan memerintahkan manusia agar berusaha ke arah kehidupan unggul.
Sebagai kesimpulan, pendidikan dari sudut Islam menyatukan semua ilmu pengetahuan di bawah pengendalian al-Quran dan sunnah yang menjadi teras pendidikan dan kebudayaan Islam seluruhnya.